27 October 2015

Hidup insan seperti aku dan engkau.

Assalamualaikum w.b.t,

Corat-coret minda.

Hidup insan seperti aku dan engkau.


Apabila dilihat dari kaca jendela, 
awan terus berarak, 
matahari terus melitupi bumi dengan cahaya bersalutkan haba. 
Sesekali, cahaya tersebut terlindung oleh gumpalan-gumpalan awan di langit.

Angin pula bertiup nyaman, 
terkadang menerjah manja ke dalam bilik yang aku duduki ini. 

Aku kagum melihat 'mereka' patuh akan arahan daripadaNya, 
sedangkan kebanyakan insan, seperti aku dan engkau, masih cuai, lalai dan alpa, 
diulit mimpi-mimpi duniawi, 
semakin jauh daripada kebaikan ukhrawi.


Jika diibaratkan hidup kita dengan mereka,
hidup ini umpama bumi,
yang terkadang subur dengan amalan-amalan murni, setelah dihujani nasihat dan tunjuk ajar.
hidup ini juga, terkadang kering gersang, seperti kita yang dahagakan siraman ilmu-ilmu bermanfaat.

Jika diibaratkan hidup kita dengan mereka,
hidup ini umpama angin,
yang terkadang bertiup lembut, ketika berada di saat-saat gembira dan bahagia.
hidup ini juga, terkadang keras menimbulkan taufan, tatkala berada dalam saat-saat getir dan duka.



Jika diibaratkan hidup kita dengan mereka,
hidup ini umpama awan.
yang terkadang berarak patuh akan perintah tuannya.
hidup ini juga, terkadang bergerak gusar penuh kacau-bilau dek kerana terlalu ikutkan perubahan duniawi.

Jika diibaratkan hidup kita dengan mereka,
memang tidak akan lengkaplah perumpamaannya, 
dek kerana tiada warna yang dapat menggambarkannya,
 tiada dakwat yang mampu menuliskannya,
tiada kata yang dapat membicarakannya.

Biarlah coretan ini jadi kemudi, 
sebagai panduan bagi nahkoda yang telah tersesat.

Biarlah nukilan ini jadi lidi,
sebagai penikam hati pemaksiat.

Biarlah karangan ini jadi kasturi,
pewangi hati membersih niat.

Semoga insan seperti aku, dan engkau,
pulang ke pangkal jalan,
jangan tunggu lain bulan,
 terus keluar dari belukar duniawi,
kembali mencari redha Illahi.

(Mohd Hanafi, 2015)
moha_mohu




Syukran 'ala kulli haal. From your friend, moha_mohu

0 ,581 mengulas:

Post a Comment